Suami isteri maut dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

REMBIA 1 Jun – Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bukit Hantu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, S R Muthusamy yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan, manakala pembonceng iaitu isterinya, S Manomani meninggal dunia di Hospital Alor Gajah ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda sedang dalam perjalanan dari Lendu menghala ke Alor Gajah.

Katanya, ketika di lokasi iaitu jalan dua hala mendaki dan menuruni bukit, datang sebuah kereta yang dinaiki dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian, manakala pembonceng meninggal dunia di Hospital Alor Gajah ketika mendapatkan rawatan.

“Pemandu kereta jenis Proton Saga juga mengalami kecederaan dan ditempatkan di zon hijau Hospital Alor Gajah, sementara penumpang kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan.

“Kedua-dua kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1070
Kongsi :
Previous post Polis tahan ibu bapa Zayn Rayyan
Next post Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari – Ketua Polis Selangor
Ubah saiz-+=