‘Suami, isteri hidap kanser tabah jalani hidup’
BUKIT KATIL 2 Julai – “Sebagai ibu semangat saya perlu kuat dan terima segala ujian diberikan dengan hati terbuka,” kata Naimah Meor Osman,61.
Itu perkongsian seorang ibu kepada tiga anak yang menghidapi penyakit kanser tiroid dan sakit buah pinggang sejak tahun 2015.
Lebih menyayat hati apabila suaminya Abd Ajis Abdul Rashid,62 turut menghidapi penyakit kanser pankreas sejak enam bulan lalu hingga membataskan pergerakan harian mereka sekeluarga.
Naimah berkata, biarpun daripada sudut fizikal nampak biasa seperti wanita lain, tetapi dia turut menghidapi penyakit lain seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Saya pernah jalani pembedahan kanser tiroid sebanyak tiga kali, yang terakhir adalah pada tahun 2018 di Institut Kanser Negara (IKN) dan disebabkan kanser ini peti suara belah kanan saya sudah rosak.
“Apabila saya dan suami sakit, salah seorang kena sentiasa kuat demi meneruskan hidup dan menjaga anak-anak yang masih memerlukan perhatian kami.
“Saya dan suami berniaga kuih-muih sejak muda, tetapi sekarang menjual roti titab (dan) tumpang di kedai orang, jadi bila sakit kami tidak boleh terlalu agresif dan perlu kawal pergerakan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di Solok Bukit Bayan di sini.
Terdahulu Naimah menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad menerusi Ziarah Kasih dan Santunan Masyarakat DUN Bukit Katil Tahun 2024.
Naimah bagaimanapun bersyukur segala kos perubatan bagi rawatan dialisis buah pinggang ditaja sepenuhnya oleh MAIM sejak tiga tahun yang lalu.
“Kalau bangun tidur muka atau kaki akan bengkak, Alhamdulillah MAIM bagi bantuan untuk dialisis sudah lebih tiga tahun.
“Selera makan masih sama, cumanya kuantiti minum air terhad iaitu hanya 500ml sehari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.