Sorting by

×

Suami isteri ditahan, disyaki dera pembantu rumah Myanmar

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BUKIT MERTAJAM 25 Feb. – Seorang pembantu rumah warga Myanmar dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, bertindak hasil maklumat, polis menjalankan pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri yang juga majikan kepada pembantu rumah berusia 30-an itu pada 9.30 malam tadi.

“Kami menerima maklumat daripada beberapa individu berhubung kejadian dera dan polis telah ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah.

“Pemeriksaan awal terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembantu rumah yang bekerja dengan majikannya sejak dua tahun lepas itu memberitahu bahawa dia didera dengan cara dipukul, disimbah air panas, cubitan dan sebagainya oleh majikan wanitanya sejak setahun lalu.

Shafee berkata mangsa kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan dan polis akan mengambil keterangan mangsa untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata pasangan suami isteri berusia 50-an dan 60-an itu ditahan dan direman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007.

Difahamkan sepanjang mangsa bekerja di situ dia dibayar gaji, namun majikannya mengabaikan dari segi kebajikan termasuk makanan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post ‘Sila pilih kangkung, sawi atau bendi’
Next post Pos Malaysia tingkat pembangunan program keusahawanan untuk penuhi permintaan E-dagang
Ubah saiz-+=