Suami digalak taja suri rumah SKSSR – PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara memperkenal skim perlindungan untuk suri rumah menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim yang baharu tiga bulan diperkenalkan itu boleh dicarum dengan hanya RM120 setahun.

Katanya, menerusi caruman itu suri rumah akan dilindungi menerusi pelbagai faedah di bawah Perlindungan Domestik dan Perlindungan Keilatan.

“Keunikan skim ini adalah untuk semua golongan wanita di bawah umur 55 tahun dan suami boleh mencarum untuk suri hati masing-masing agar dilindungi sewaktu menguruskan rumah tangga.

“Selain itu pihak ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta digalakkan untuk menaja caruman suri rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Karnival tersebut telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PERKESO akan melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti Geran Suri Rumah Miskin menerusi SKSSR, Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Program Saringan Kesihatan PERKESO Pasca COVID 19 dan Perlindungan Tambahan Menerusi Program Lindung+.

“Bagi inisiatif pemerkasaan pasaran buruh pula, kerajaan telah mencadangkan inisiatif Belanjawan 2023 di bawah PERKESO seperti Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Lepasan Sekolah, Program Bina Kerjaya, Perlanjutan Insentif Penggajian Pekerja Bersasar, Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4961
Kongsi :
Previous post Warga emas, anak sahut cabaran teroka Pulau Besar
Next post Tun Mohd Ali serikan majlis makan malam amal
Ubah saiz-+=