STOM 2.0 PEMUDAH CARA URUSAN JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN NEGERI MELAKA
BANDA HILIR 8 Februari – Projek Sistem Tender Online Melaka (STOM) 2.0 membawa tuah kepada Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) selepas muncul juara keseluruhan Projek Terbaik Tahun 2024.
Hadiah Kemenangan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Ketua ICT Negeri Melaka Fauzi Elham@Alhim berkata, STOM merupakan pemudah cara pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dalam urusan sebut harga serta tender.
Katanya, projek itu dibangunkan sejak lima tahun lalu dan sentiasa dinaik taraf hingga mencapai tahap terkini STOM 2.0.
“Mereka (pihak berkait) hanya perlu berdaftar untuk akses pelbagai projek atau program Kerajaan Negeri daripada pelbagai jabatan dan agensi mengeluarkan tender serta sebut harga.
“Pendaftaran pembelian tender secara dalam talian singgah kepada proses penilaian tanpa perlu bersemuka. Kemudian dokumen boleh dimuat turun dan tender boleh di hantar secara dalam talian, sesiapa sahaja yang berdaftar dengan sistem itu akan mendapat maklumat bahawa tender ini boleh disertai.
“Bukan hanya setakat pengguna di Melaka, yang di luar negeri ini juga boleh mendapatkan maklumat dan menyertai tender yang kita iklankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, semalm.
BTMK turut memenangi dua anugerah lain pada majlis tersebut iaitu Anugerah Kajian Penilaian Outcome Terbaik Kluster Sistem di tempat pertama dan Anugerah Projek Bukan Fizikal.
BTMK membawa pulang RM5,000 untuk setiap kategori daripada dua anugerah tersebut beserta sijil dan trofi.
Mengulas lanjut, Fauzi berkata projek STOM tersebut sejak awal lagi dibangunkan oleh lima orang kakitangan dan dibantu dua pegawai sokongan.
“Alhamdulillah, kemenangan ini sebenarnya penyuntik semangat dan motivasi buat kami di BTMK yang mahukan perjalanan projek atau program Kerajaan Negeri berjalan lancar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.