
STOK PLATELET BERKURANG, ORANG MELAKA BERAT LEBIH 55KG DISARAN TAMPIL DERMA DARAH
AYER KEROH 8 April – Bank Darah Melaka (Melakabloodbank) memaklumkan stok bekalan platelet mula menunjukkan penurunan sepanjang musim cuti perayaan ini.
Menerusi laman rasminya, Melakabloodbank menyeru orang ramai yang sihat tubuh badan dan berat badan melebihi 55 kilogram (kg) untuk tampil menderma darah bagi membantu meningkatkan stok platelet
Menurut kenyataan berkenaan, dengan menderma darah, ia dapat membantu memastikan bekalan darah sentiasa pada paras optimum.
“Dalam seminggu ini kami berdepan dengan kes-kes kanser darah yang menyebabkan penggunaan darah dan komponen darah meningkat secara mendadak selain kes-kes lain yang memerlukan transfusi darah.
“Ayuh adiwira darah yang sihat tubuh badan dan berat badan melebihi 55 kilogram ke atas amat digalakkan menderma darah untuk meningkatkan stok platelet,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu Melakabloodbank memaklumkan, kadar hayat platelet sangat pendek iaitu selama lima hari sahaja dan dengan menderma darah mampu membantu menyelamatkan nyawa.
“Mereka yang ingin menderma darah boleh hadir ke Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka atau mengikuti program-program derma darah yang akan dikemaskini di lokasi-lokasi tertentu di laman rasmi Facebook Melakabloodbank,” tambah kenyataan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.