STESEN PERTOLONGAN CEMAS BANDA HILIR DIIKTIRAF

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 10 September – Stesen Pertolongan Cemas di Banda Hilir yang dikelolakan Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan St John Malaysia telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR).

Pengiktirafan itu diberikan selepas stesen rawatan kecemasan itu menjadi yang pertama seumpamanya diwujudkan di dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan atau ‘Car Free Zone’.

Penolong Pegawai Perubatan U36 MBMB Zainal Haris menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu kebanggaan buat Negeri Melaka apabila berjaya menjadi perintis dalam memperkukuh sistem kesihatan rakyat dan negeri ini.

“Pengiktirafan sebagai ‘First Aid Station’ pertama dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Ia juga merupakan satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara dengan bantuan dan perkhidmatan disediakan oleh sukarelawan Paramedik Komuniti, selain turut dibantu oleh Mahkota Medical Centre, Putra Medical Centre dan Hospital Pantai Melaka di sekitar kawasan pelancongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 09 08 At 20.04.25
ANTARA tulang belakang yang menjayakan fungsi kewujudan Stesen Pertolongan Cemas di Banda Hilir.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan St. John Ambulance Malaysia Kawasan Melaka Tengah Saiful Nizam Sairi berkata, menerusi kewujudan stesen pertolongan cemas itu, ia membawa pelbagai impak kepada Negeri Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Menurutnya, impak tersebut merangkumi peningkatan dalam akses kesihatan di mana ia dapat mengurangkan masa diperlukan untuk rawatan kecemasan dan seterusnya membantu meningkatkan peluang penyelamatan nyawa.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan usaha bersepadu di antara Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya pertolongan cemas.

“Ia juga menunjukkan usaha proaktif dalam melatih masyarakat supaya lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan.

“Selain itu, penghargaan dalam MBOR ini juga menunjukkan bahawa inisiatif ini dianggap sebagai pencapaian luar biasa dan inovatif. Ia memupuk idea bahawa langkah-langkah kecil seperti ini mampu membawa perubahan besar dalam sistem kesihatan awam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Nizam turut yakin, kewujudan stesen tersebut di Banda Hilir dapat menjadi model masa depan yang boleh dikembangkan di seluruh negara.

“Ini termasuklah di kawasan luar bandar dan tempat yang berisiko tinggi mengalami kecemasan.

“Pembangunan stesen sebegini juga selaras dengan visi kerajaan untuk memperbaiki akses kepada rawatan perubatan kecemasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post MELAKA IKRAR PERANGI JENAYAH SIBER
Next post 27 TASKA TIDAK BERDAFTAR DI MELAKA TELAH DIAMBIL TINDAKAN
Ubah saiz-+=