Stadium Nasional ditutup mulai esok untuk baik pulih padang
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata SNBJ akan ditutup mulai esok bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dimulakan dengan segera, berbanding perancangan awal untuk ditutup pada penghujung Mac 2023.
“KBS memandang serius isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya.
“Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas. Keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera, keperluan baik pulih dan penambahbaikan adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Malaysia sedang menganjurkan aksi Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di SNBJ yang membuka tirai pada 8 Jun lepas apabila Bahrain mengatasi Bangladesh 2-0, manakala skuad Harimau Malaya membenam Turkmenistan 3-1.
Namun kualiti padang yang teruk dan air bertakung selepas hujan lebat sebelum aksi kedua antara Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia menentang pasukan di tempat ke-89 dunia, Bahrain bermula pada Sabtu lepas mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.
Lebih memalukan, beberapa petugas di stadium dilihat cuba mengalirkan air dari permukaan padang menggunakan penyodok dan kadbod, sebelum sepak mula mengundang kritikan negatif, selain mencalar imej negara di peringkat antarabangsa.
Pada aksi terakhir kumpulan hari ini, Bahrain dijadual bertemu Turkemistan, manakala skuad Harimau Malaya akan berdepan Bangladesh.
Mac lepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bertitah baginda akan menaja kos penanaman rumput baharu di SNBJ sebagai hadiah kepada gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu.
Baginda menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah, rumput yang bakal digunakan ialah jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, Johor. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.