Stadium Hang Jebat kembali ‘bernyawa’
STADIUM Hang Jebat yang dahulunya sunyi seolah-olah kembali ‘bernyawa’ malam ini apabila dibanjiri kira-kira 4,000 penyokong Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC).
Ia susulan kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara bagi kehadiran penyokong mengikut kapasiti yang telah ditetapkan iaitu 10 peratus daripada kapasiti sebenar stadium atau 4,000 penyokong di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan serta 2,000 penyokong di kawasan PKP Bersyarat.
Tinjauan Melaka Hari Ini di pekarangan Stadium Hang Jebat sejak 6.30 petang tadi menyaksikan rata-rata penyokong tegar yang berseragam hijau dan putih bersemangat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan.
Kesemua yang hadir dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta mendaftar MySejahtera di pintu masuk.
Turut kelihatan petugas kesihatan memainkan peranan penting mengawal kemasukan penyokong serta memberikan cecair sanitasi tangan kepada semua penyokong yang hadir.
Seorang penyokong tegar skuad Hang Tuah dari Sungai Udang, Zainul Arifin Mohamad, 42, tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila dapat kembali semula ke stadium selepas lebih setahun terpaksa bertapa di hadapan televisyen menyaksikan perlawanan bola sepak.
Katanya, suasana riuh rendah dengan sorakan ‘pemain ke-12’ dan paluan gendang menjadi antara yang paling dirindukannya selama ini.
“Memang berbeza melihat perlawanan di rumah dan berada di stadium. Kali ini suasana yang dirindu-rindukan dapat semula saya rasai.
“Saya berharap kemasukan penyokong ke stadium ini dapat menaikkan lagi semangat kepada pasukan Melaka United untuk meraih kemenangan yang diharapkan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Azman Abdullah, 49, berkata, dia sanggup mengambil cuti sehari pada hari ini dan memandu sejauh 30 minit dari Ayer Molek ke stadium semata-mata untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangannya itu.
“Saya setia menyokong pasukan sejak Melaka United beraksi di Liga FAM sehinggalah sekarang. Walaupun prestasi turun naik, namun ia bukan penghalang untuk saya setia memberikan sokongan.
“Oleh itu, saya berharap semua penyokong agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan pihak pengurusan stadium bagi kebenaran ini dapat terus dikekalkan sehingga tamat musim ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.