SSN PREDATOR SASAR EMPAT TERBAIK DI AUSTRALIA
DUYONG 14 November – Pasukan Hoki Sekolah Sukan Negeri (SSN) Predator Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota menyasarkan sekurangnya berada di kedudukan empat terbaik pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Remaja Gryphon Cup 2024 di Perth, Australia.
Ketua Jurulatih SSN Predator, Mohd Rasul Khamis berkata, kejohanan itu menjadi medan dan persediaan buat SSN Predator untuk menghadapi pertandingan seterusnya pada tahun hadapan.
“Ini adalah kejohanan kali kedua kita sertai, tahun lepas kita hantar pasukan perempuan bawah 16 tahun dan mereka mendapat tempat kelima daripada 16 pasukan, tahun ini kita hantar pasukan lelaki untuk edisi 2024.
“Antara pasukan dari Malaysia terlibat dalam pertandingan ini adalah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, SSN SMK Mutiara Impian Pulau Pinang dan SSN Kuala Lumpur.
“Manakala dari negara lain adalah Jepun, enam negeri dari Australia, Korea dan China yang akan bertanding pada 21 hingga 26 November,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penyerahan Bendera dan Penajaan Jersi kepada Pasukan Hoki SSN Predator, SMK Seri Kota di sini, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, pasukan hoki wanita sekolahnya sebelum ini pernah merangkul tempat kedua dalam kejohanan hoki Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan.
“Sebelum ini kita menghantar pasukan wanita umur 18 tahun bagi Divisyen 2 dan mereka memperoleh tempat kedua kejohanan itu, Divisyen 1 kita belum layak dan kita sasarkan pada tahun hadapan (2025).
“Sebab itu kita cuba dapatkan tempat terbaik dalam kejohanan kali ini, kejohanan ini juga sebagai persediaan untuk pasukan kita bertanding pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.