SRA JAIM BAKAL DIJENAMAKAN DENGAN NAMA TOKOH ILMUAN ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 24 September – Kesemua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bakal dijenamakan semula dengan menggunakan nama tokoh sejarah peradaban dan ilmuan Islam secara berperingkat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penjenamaan semula itu sebagai hasrat untuk memberi imej baharu kepada kesemua sekolah ini.

“JAIM sedang dalam pelaksanaan penjenamaan semula nama kesemua sekolah agama JAIM selaras dengan hasrat untuk memberi imej baharu kepada sekolah-sekolah agama JAIM.

“Pada masa ini sekolah SRA JAIM lebih dikenali dengan nama tempat sekolah itu berada tetapi akan datang bakal diberi nafas baharu apabila akan diganti.

“Nama tokoh sejarah peradaban dan ilmuan Islam sesuai dengan imej sekolah agama itu sendiri akan diguna pada sekolah-sekolah SRA JAIM di seluruh Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, di sini, yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, revolusi yang bakal dibawa itu diharap dapat memberi pendedahan tentang tokoh sejarah dan ilmuan Islam khususnya kepada murid.

“Dengan revolusi ini secara tidak langsung dapat memberi pengetahuan dan pendedahan tentang tokoh sejarah serta ilmuan Islam yang terkenal suatu masa dahulu kepada murid dan masyarakat setempat.

“Justeru itu juga, saya mahu guru dan murid SRA JAIM di seluruh negeri Melaka sentiasalah beriltizam untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan agama di negeri ini sebagai pemangkin agenda pembangunan modal insan yang berilmu selain berpengetahuan tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post KOMPLEKS HANG TUAH CENTRE DILENGKAPI TEKNOLOGI CANGGIH
Next post MOTAC LULUS 76 PROJEK DI MELAKA
Ubah saiz-+=