Sorting by

×

SRA DAN TADIKA JAIM BAHARU DI BACHANG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 21 Februari – Usaha Kerajaan Negeri melahirkan individu Muslim berkualiti diperkasakan lagi menerusi pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) serta tadika, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang baharu di Kampung Pasir Puteh di sini.

Ketua Menteri Datuk Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan kemudahan pendidikan Islam kendalian JAIM yang dianggarkan melibatkan kos RM6.5 juta itu dijangka dimulakan selewat-lewatnya April ini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, mengikut perancangan projek berkenaan akan siap dalam tempoh dua tahun, sekali gus menampung keperluan pendidikan agama bagi anak-anak penduduk sekitar.

“Kerajaan Negeri telah meluluskan projek ini melalui Peruntukan Pembangunan P22 – JAIM dalam Bajet Pembangunan Negeri Melaka bagi tahun 2024. Susulan itu Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan konsep dan melaksanakan kerja awal, termasuk mengukur tanah selain siasatan tapak projek tahun lalu sebagai persediaan sebelum pembinaan bermula.

“Projek ini melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat, enam bilik dengan kapasiti 360 murid SRA serta empat bilik darjah yang mampu menampung 100 murid tadika,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SRA dan tadika JAIM Pasir Puteh, Bachang.

Program bersempena penganjuran Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terbabit.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Menurut Ab Rauf, selain bilik darjah, bangunan berkenaan turut dilengkapi kemudahan lain seperti ruang untuk mesyuarat, surau, kantin dan tempat letak kenderaan berbumbung bagi keselesaan murid, warga pendidik, ibu bapa serta orang ramai.

“Inisiatif ini sudah pasti akan memberi nafas baharu kepada SRA JAIM dan Tadika JAIM Pasir Putih Bachang dalam memacu kecemerlangan akademik serta memperkasa pembangunan sahsiah murid ke arah yang lebih baik.

“Saya yakin pembinaan sekolah ini akan membawa manfaat besar kepada semua, termasuk para guru dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang lebih efektif dan inklusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post PEMBEDAHAN ROBOTIK BERI NILAI TAMBAH SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA
Next post WABAK KUSTA TIDAK MENULAR DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI MELAKA