Sorting by

×

SPRM guna Dondang Sayang sebar mesej berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan integriti

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Seni Dondang Sayang dilihat boleh menjadi medium bagi menyebarkan mesej penyalahgunaan kuasa, anti rasuah dan integriti kepada masyarakat di negara ini.

Menyedarinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) dalam menganjurkan pertandingan Dondang Sayang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, pendekatan itu bukan sahaja bagi menyampaikan mesej kesedaran, malah ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada masyarakat tentang seni dan budaya Dondang Sayang.

 

NORAZLAN.

“Ia merupakan serampang dua mata. Banyak masyarakat kita yang kurang terdedah dengan budaya yang kita ada dan Dondang Sayang dapat pengiktirafan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

“Jadi kita menggunakan platform budaya ini untuk menyebarkan mesej anti rasuah di samping sebagai agensi kita bekerjasama dengan JKKN untuk mempromosikan budaya.

“Kita akan melihat pendekatan yang kita guna ini, dan kita akan cuba perluaskan dengan mengguna budaya negeri-negeri lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Pertandingan Akhir Dondang Sayang anjuran SPRM bersama JKKN di Kompleks JKNN, Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKNN, Mesran Mohd Yusof.

Norazlan berkata, pertandingan yang diadakan secara hybrid itu dilihat mendapat sambutan yang memberangsangkan biarpun menghadapi kekangan mengadakan kempen kesedaran secara fizikal akibat pandemik COVID-19.

“Walaupun ada pandemik, program-program pencegahan kita diteruskan cuma kaedah dia berbeza.

“Semua jadi kepada atas talian, dan saya kira platform online ini mampu memberi peluang kepada penonton untuk menikmati pertandingan seumpama ini di rumah masing-masing dengan seles,” katanya.

Terdahulu, Exco Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam ucapan pelancarannya menegaskan, seni Dondang Sayang harus diperjuangkan agar tidak luput di minda generasi muda.

Malah menerusi pengktirrafan yang telah diberikan oleh UNSECO sebagai ‘warisan tidak ketara’ itu perlu terus berkembang serta dihormati di seluruh pelosok dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1139
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri rancang bina 46,010 unit RMM
Next post Semarakkan seni Dondang Sayang buat generasi muda
Ubah saiz-+=