SPRM beku 41 akaun bank milik Aman Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti syarikat lain berkaitan dengannya membabitkan wang berjumlah lebih RM15 juta.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan awal ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendapati dianggarkan RM70 juta telah disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhannya.

“Akaun bank berkenaan dibekukan semalam oleh SPRM dan ia milik Aman Palestin dan syarikat lain yang berkaitan dengannya dan melibatkan dana berjumlah RM15,868,762.

“Sejak siasatan bermula pada 17 Okt lepas SPRM telah merakam keterangan saksi penting dan membuat penggeledahan di premis NGO itu dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada bulan lepas, SPRM mendedahkan pihaknya sedang menyiasat Aman Palestin berikutan timbul keraguan daripada masyarakat dan laporan media tempatan yang mempersoalkan sama ada wang derma yang dikumpul betul-betul disalurkan kepada rakyat Palestin.

Susulan itu, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lepas turut meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1274
Kongsi :
Previous post Serangan Israel masuk hari ke-47, angka korban di Gaza meningkat kepada 14,532 orang
Next post Semangat berniaga tidak dimamah usia
Ubah saiz-+=