SPRM ambil keterangan beberapa kakitangan KOMTAR
GEORGE TOWN 3 Julai – Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, untuk mengambil keterangan beberapa petugas di bangunan itu.
Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada pukul 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan dua Exco kerajaan negeri Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin.
Ramasamy ketika ditemui pemberita selepas itu berkata empat orang pegawai SPRM termasuk dua pengawal tiba di pejabatnya pada pukul 10 pagi.
“Mereka tidak temu bual saya. Mereka cuma ambil keterangan kakitangan saya dan ambil jadual kerja. Selain itu, mereka turut mengambil gambar pejabat, dan semua proses selesai pada pukul 1.15 tengah hari,” katanya.
Terdahulu, empat pegawai SPRM turut dilihat memasuki pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari.
Zairil berkata SPRM hanya datang untuk mengambil gambar pejabatnya dan mengambil keterangan petugas.
“Saya tidak berada di pejabat pagi ini kerana terpaksa mempengerusikan mesyuarat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Saya difahamkan mereka hanya datang untuk ambil gambar pejabat,” katanya.
Difahamkan kehadiran SPRM mempunyai kaitan dengan siasatan isu rasuah berkaitan projek mega terowong dasar laut negeri.
Rabu lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri telah menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa Exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam sebelum ini direman selama empat hari bermula 1 Julai lepas bagi membantu siasatan kes SPRM. Difahamkan penahanan Chew adalah berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.
– BERNAMA