SPR sasar 70 peratus rakyat Melaka keluar mengundi- Abdul Ghani
BANDA HILIR 18 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 495,196 pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan, kata Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Katanya, bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi’ menjelang PRN itu nanti.
Menurutnya, kempen tersebut akan dipromosikan menerusi pelbagai saluran media termasuk media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.
“SPR juga akan meneruskan penambahbaikan seperti menyediakan saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi.
“Selain itu tempoh masa pengundian dipanjangkan selama 30 minit iaitu dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding pada PRU-14 lalu iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Pengundi-pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1. Seramai 12,712 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar
dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, garis panduan atau SOP pencegahan COVID-19 bagi tujuan PRN Melaka akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat
dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Maklumat itu akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.