Sorting by

×

SPR jadi tumpuan esok, umum tarikh penting PRU15

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Tumpuan seluruh negara esok akan terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), susulan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Okt lepas.

Turut bakal dibincangkan ialah urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Mesyuarat yang dijadualkan bermula pukul 10 pagi itu, dijangka berlangsung selama dua jam, diikuti pengumuman oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Tarikh yang dijangka akan diumumkan termasuk tarikh keluar writ, hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi.

SPR juga akan mengumumkan jumlah pemilih berdaftar, jumlah petugas pilihan raya, jumlah premis yang akan digunakan sebagai pusat mengundi, saluran mengundi, peruntukan keseluruhan dan garis panduan pengundian.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara (kecuali Sarawak) dijalankan secara serentak.

Kali ini, hanya negeri Pahang, Perak dan Perlis yang akan melaksanakan pilihan raya negeri masing-masing bersekali dengan peringkat Parlimen, berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

Manakala negeri negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tidak ada pilihan raya peringkat DUN diadakan.

Negeri-negeri yang baru sahaja mengadakan pilihan raya negeri seperti Sabah (September 2020), Melaka (November 2021), Sarawak (Disember 2021) dan Johor (Mac 2022) juga baru sahaja mengadakan pilihan raya negeri masing masing.

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14, beliau turut mengesyorkan negeri-negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor (masih belum mencapai tempoh matang) untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya peringkat Parlimen dan DUN diadakan serentak.

Pahang negeri pertama yang membubarkan DUN pada 14 Okt, diikuti Perlis pada hari sama. Perak pula mengumumkan pembubaran DUN pada 17 Okt.

Ini bermakna, pilihan raya akan diadakan di 222 kerusi parlimen di seluruh negara, serta 42 DUN di Pahang, Perlis (15 DUN) dan Perak (59 DUN).

PRK DUN Bugaya pula dijangka diadakan bersekali dengan PRU15, berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Pada 7 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.

Sebelum pembubaran Parlimen diumumkan secara rasmi lagi, pelbagai spekulasi beredar di media sosial berkenaan tarikh PRU15 dengan kebanyakannya menjangkakan ia akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan November, berikutan ramalan berlaku bencana banjir akibat Monsun Timur Laut.

Susulan itu, persiapan SPR kali ini dijangka agak berbeza memandangkan sekolah atau dewan yang lazimnya digunakan sebagai pusat mengundi mungkin akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Persiapan lain juga mungkin diperlukan termasuk pertambahan petugas dan bantuan lojistik seperti pengangkutan dan lokasi yang bersesuaian.

Mengikut data SPR setakat Januari lepas, seramai 5.8 juta pemilih baharu akan ditambah kepada daftar pemilih semasa iaitu 15.3 juta, susulan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) pada 15 Dis 2021.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemilih sebanyak 21.1 juta. Pada PRU14 jumlah pemilih berdaftar adalah 14.9 juta.

Sebanyak 1.2 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun yang turut didaftarkan secara automatik di bawah pelaksanaan Undi18.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2113
Kongsi :
Previous post Peranti Siswa beri manfaat kepada pelajar – KM
Next post Setiap papan tanda perlu ada tulisan jawi – KM
Ubah saiz-+=