Sorting by

×

SPNB TERIMA LEBIH 7,000 PERMOHONAN BAHARU RMR SELURUH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 April – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerima sebanyak 7,336 permohonan baharu untuk pemilikan Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi seluruh Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Ar. Mohd Jamil Idris berkata, kesemua permohonan baharu pemilikan RMR bagi Negeri Melaka yang diterima pihaknya ketika ini sedang dalam proses untuk tindakan lanjut termasuk kelulusan.

“Pemohon yang layak dan berada dalam senarai menunggu adalah seramai 541 orang dengan Parlimen Jasin merekodkan jumlah paling ramai.

“Malah permohonan bagi seluruh negara juga melonjak apabila merekodkan peningkatan sebanyak 20 peratus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Dan Penyerahan Inden Kerja RMR 2025 di Pejabat SPNB Melaka, di Taman Lagenda, di sini, hari ini.

Terdahulu, Penyerahan Inden Kerja dan Kunci Rumah RMR kepada kontraktor disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dengan disaksikan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi SPNB Prof Datuk Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Pengarah SPNB Melaka Khairul Azhar Abdullah.

Ar. Mohd Jamil berkata, sebanyak 323 unit RMR akan dibina di seluruh Melaka sepanjang 2025 dan selain itu beliau turut memaklumkan peruntukan kuota untuk negeri ini sudah habis.

“Peruntukan permohonan pada tahun ini sudah habis dan kami pihak SPNB ada membuat permohonan tambahan kepada kementerian.

“Selain itu juga setiap tahun sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima terpaksa ditolak atas beberapa faktor termasuk isu berkaitan tanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post SEMBILAN VESEL DIKESAN LANGGAR UNDANG-UNDANG PERIKANAN DI MELAKA
Next post SPNB DIMINTA TERUSKAN PROJEK RMR 2.0