
SPNB DIMINTA TERUSKAN PROJEK RMR 2.0
BANDARAYA MELAKA 22 April – Pelaksanaan projek Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RMR 2.0) diharap dapat diteruskan semula susulan sambutan menggalakkan diterima Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) daripada pemohon di seluruh negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sejak diperkenalkan pada Februari 2024 ramai yang memohon untuk pemilikan rumah menerusi projek RMR 2.0 kerana prosesnya lebih cepat.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sebelum dihentikan pada Ogos tahun lalu SPNB meluluskan 58 permohonan pemilikan kediaman menerusi RMR 2.0 sebelum program itu dihentikan Ogos tahun lalu.
“Berdasarkan prestasi cemerlang iaitu berjaya menyiapkan semua projek yang diluluskan saya amat berharap agar SPNB menimbangkan untuk meneruskan semula RMR 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini.
“Cadangan ini adalah susulan sambutan amat menggalakkan diterima daripada pemohon dan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sahaja sebanyak 22 permohonan telah diluluskan dan siap dibina,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Dan Penyerahan Inden Kerja RMR 2025 di Pejabat SPNB Melaka, di Taman Lagenda, di sini, hari ini.
Terdahulu, Penyerahan Inden Kerja dan Kunci Rumah RMR disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dengan diiringi Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Temtapan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri,Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; .
Turut hadir, Pengerusi SPNB Prof Datuk Dr. Mohd Azmi Mohd Lila; Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Ar. Mohd Jamil Idris dan Pengarah SPNB Melaka Khairul Azhar Abdullah.
Fairul Nizam berkata, projek RMR 2.0 juga perlu diteruskan kerana amat membantu rakyat khususnya golongan B40 memiliki kediaman sendiri dalam tempoh maksimum tiga bulan sahaja berbanding projek RMR yang memerlukan pemohon menunggu giliran sehingga bertahun-tahun.
“Berikutan itu saya berharap SPNB boleh memulakan semula projek RMR 2.0 ini untuk membantu rakyat Melaka khususnya penduduk luar bandar.
“Selain itu juga saya memohon supaya kuota bagi projek pembinaan RMR di Melaka dapat diberikan tambahan memandangkan 323 unit pada tahun ini sudah penuh, difahamkan jumlah keseluruhan permohonan diterima SPNB agak tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.