Sorting by

×

SPM 2024: 10,532 CALON DI MELAKA LAYAK TERIMA SIJIL

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 April – Jumlah calon sekolah Kementerian Pendidikan di Negeri Melaka yang layak menerima sijil bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 meningkat kepada 10,532 orang atau 96.14 peratus.

Mengulas lanjut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata jumlah pada SPM 2023 calon sekolah Kementerian Pendidikan di Melaka yang layak menerima sijil adalah seramai 10,458 orang atau 95.53 peratus.

Katanya, berlaku peningkatan sebanyak 0.61 peratus dan pencapaian kali ini adalah yang tertinggi buat Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun bermula 2021.

“Ini adalah hasil daripada usaha berterusan pelbagai pihak termasuk guru, pentadbir sekolah dan pelajar itu sendiri yang komited memburu kecemerlangan dalam pendidikan.

“Calon perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi melayakkan mereka memperoleh sijil penuh, berbeza dengan syarat terdahulu sebelum tahun 2013 yang hanya memerlukan lulus Bahasa Melayu,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2024 Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat Kesidang Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Karim Tumin dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman.

Mengulas lanjut Rahmad berkata seramai 414 orang calon (3.78 peratus) berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A (A+, A dan A-) dalam semua subjek yang diduduki.

“Daripada jumlah tersebut, 16 pelajar berjaya meraih gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua subjek yang diambil, menjadikan mereka antara pelajar paling cemerlang di negeri ini.

“Sistem penggredan baharu yang diperkenalkan telah memperincikan lagi kecemerlangan calon, khususnya melalui pengenalan gred A+ yang menggantikan 1A, sebagai simbol pencapaian luar biasa dalam kalangan pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1247
Kongsi :
Previous post TUJUH SEKOLAH LUAR BANDAR JASIN CATAT 100 PERATUS LULUS SPM 2024
Next post ‘ABANG RIDER’ BANTU POLIS CEKUP PERAGUT