Sorting by

×

SPM 2020: Guru dibenar ikut laluan ekspres di SJR

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BATU BERENDAM 22 Feb. – Guru serta pegawai yang telibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan melalui laluan ekspres di setiap sekatan jalan raya (SJR) yang disediakan untuk petugas barisan hadapan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran SPM 2020 memandangkan ada guru dari sekolah dan daerah lain yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan membawa kertas soalan dari bilik kebal yang ada di negeri ini.

Afzanizar menjelaskan guru dan pegawai peperiksaan dibenarkan melalui laluan ekspres di sekatan jalan raya. Foto: MR. Azli

“Kita difahamkan, pada awal pagi lagi, guru-guru ini perlu mendapatkan kertas peperiksaan di bilik kebal yang mana keseluruhannya terdapat lima pusat simpanan soalan peperiksaan dan seterusnya terus bergegas ke sekolah.

“Jadi kita telah membuka laluan ekspres bagi guru-guru yang terlibat bagi memastikan perjalanan mereka ke sekolah untuk persiapan peperiksaan berjalan lancar. Maknanya mereka dibenar melalui laluan khas ini jika melalui mana-mana SJR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas meninjau proses pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh 357 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, pagi tadi.

Afzanizar (dua dari kiri) hadir melakukan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, Afzanizar memaklumkan 40 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam kalangan anggota polis telah ditempatkan di 39 sekolah menengah yang terlibat dengan SPM di daerah Melaka Tengah.

Ujarnya, semua pegawai terbabit bekerjasama dengan guru dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan segala SOP yang ditetapkan dipatuhi.

“Prosedur ini merupakan usahasama antara pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah dalam memastikan setiap calon bebas daripada sebarang risiko dan simptom COVID-19.

“Semua calon dikehendaki mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan perjalanan mereka untuk diteliti oleh guru dan pegawai perhubungan polis sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan sekolah,” ujarnya.

Katanya, hasil pemantauan di semua sekolah dalam daerah ini mendapati perjalanan hari pertama peperiksaan SPM 2020 berjalan dengan lancar dan semua murid dan sekolah didapati mematuhi segala SOP ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Nelayan lakukan anjakan paradigma berikutan projek mega KLIP
Next post TYT, Ketua Menteri antara individu pertama dijangka terima suntikan vaksin
Ubah saiz-+=