Sorting by

×

Speaker tegas dengan keputusan, isu darurat dijawab Isnin

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 27 Julai – Sebarang persoalan dan penjelasan berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen akan dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin.

Semasa mengendalikan sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun tetap dengan keputusannya semalam, meskipun berkali-kali diasak oleh Ahli-Ahli Parlimen terutama daripada blok pembangkang yang menuntut penjelasan segera.

“Saya sudah beritahu semalam, dan saya juga kemudian beritahu Menteri Undang-Undang yang beliau perlu menjawab semua soalan dibangkitkan Yang Berhormat semua mengenai apa dikatakan oleh beliau semalam.

“Beliau (Takiyuddin) perlu beri penerangan itu dan prosedur sama ada perkenan Agong atau belum, atau sebagainya… marilah kita tunggu Isnin,” katanya.

Isu berhubung pembatalan Ordinan Darurat kembali hangat dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen di blok pembangkang tidak henti-henti meminta Takiyuddin memberikan penjelasan segera tanpa menunggu Isnin memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

Azhar turut meminta kesemua Ahli Parlimen supaya mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang ditetapkan, merangkumi tempoh lima hari pada sesi penerangan menteri berkaitan sejak, semalam.

“Marilah kita ikut Aturan Urusan Mesyuarat kerana ia akan dikeluarkan sebelumnya dan perkara mengenai darurat, Isnin ini… sebab itu saya nak lancarkan prosiding ini supaya kita cukup masa untuk bahaskan satu-satu perkara,” katanya.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit meminta penjelasan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mempersoalkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sekarang ni, bila menteri umumkan (mengenai pembatalan Ordinan Darurat), kita tanya sama ada telah dipersembahkan kepada Agong dan mendapat perkenan Baginda? Itu pun Speaker tak boleh setuju untuk dijawab…tak apalah, saya setuju dengan Speaker kita bincang Isnin.

“…tapi kita nak tahu secara substantif, ni tak boleh tangguh kerana ia melibatkan proses perbincangan lima hari ini salah kerana dia sudah batal 21 hari bulan,” kata ketua pembangkang itu.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang bangkit mencelah pula mempersoalkan apakah peranan sebenar beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sekiranya keputusan berkaitan penamatan atau pelanjutan darurat tidak dibincangkan bersama.

“Kalau betullah darurat ini telah di ‘revoke’ (batal), tiada guna nak bincang lagi lah,” katanya.

Pada 9 Februari, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan senarai 19 individu yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post Berkorbanlah…
Next post Golf DTS salur 200 pek makanan
Ubah saiz-+=