Sorting by

×

Soto Mak Semah kekal RM2 walaupun harga ayam melambung

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 9 Dis – Sejak semalam ayam dijual pada harga maksimum RM9.30 tetapi soto Mak Semah masih tetap RM2 semangkuk.

Mak Semah atau nama sebenarnya Semah Baba, 63, tidak mahu menjadikan kenaikan harga ayam sebagai faktor untuk meningkatkan harga jualan soto yang sudah sebati sebagai air tangannya sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, meskipun harga ayam standard dijual pada harga maksimum RM9.30 sejak semalam dan pada paras antara RM8.70 hingga RM10 sekilogram sebelum itu, dia tetap tidak mengubah harga soto.

“Memang saya dan peniaga makanan lain terbeban dengan kenaikan harga ayam sejak lima bulan lalu dan paling tinggi ia mencecah RM10 dua minggu lalu.

“Bagaimanapun, saya masih mampu menyerap kesan kenaikan harga ayam dengan menjual lebih 100 mangkuk soto sehari tanpa mengurangkan walau sedikit pun ayam carik yang menjadi antara ramuan utama soto,” katanya ketika ditemui di warungnya di Kampung Bukit Apit, di sini hari ini.

SEMAH tidak pernah menaikkan harga soto RM2 semangkuk sejak lebih 10 tahun lalu di warungnya di Kampung Bukit Apit, Masjid Tanah.

Semah berkata, harga ayam hanya RM5.80 sekilogram pada Ogos lalu namun terus meningkat setiap bulan sehingga beliau mula terasa kesannya.

“Harga terus meningkat kepada RM10 sekilogram dua minggu lalu dan ketika itu saya sudah mula terfikir untuk menaikkan harga soto tetapi tidak jadi kerana masih mampu menyerap kenaikan itu,” katanya.

Beliau berkata, soto yang dihasilkannya melalui resipi yang diciptanya sendiri mampu menarik kehadiran pelanggan yang bukan setakat di kampung itu, malah dari pekan Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan tetap memesan soto berisi mi atau bihun atau ketupat semata-mata dan walaupun ada tiga jenis soto, harganya tetap sama RM2 semangkuk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2009
Kongsi :
Previous post PPN Fasa 4: Polis Melaka keluar 132 kompaun berjumlah RM520,000
Next post MHI antara agensi meterai MoU bersama MTA perkasa pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=