JAIM perketat SOP masjid dan surau
BUKIT PALAH 4 Mei. – Mulai hari ini, aktiviti di semua masjid dan surau di negeri ini akan diperketatkan termasuk tidak membenarkan aktiviti tadarus al-Quran, tazkirah semasa solat sunat tarawih dan selepas solat sunat witir, moreh serta sahur secara buffet.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan kes peningkatan kes pandemik COVID-19 sejak beberapa hari lalu.
Turut tidak dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaharu itu menurutnya ialah imam dan penceramah dari luar Melaka.
Katanya, ia sebahagian SOP aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang didirikan solat Jumaat (surau Jumaat) yang dikemas kini sesuai dengan keperluan semasa.
JAIM tidak membenarkan tazkiran selepas solat tarawih dan witir.”Sejajar dengan aktiviti tadarus al-Quran yang tidak dibenarkan, majlis khatam al-Quran juga ditangguhkan.
“Selain itu, aktiviti jemaah tabligh berdakwah di masjid dan memasak untuk jamuan di masjid dan surau Jumaat juga tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, JAIM masih membenarkan aktiviti seperti solat Jumaat, solat fardu berjemaah,solat sunat tarawih, kuliah subuh, qiamullail dan majlis berbuka puasa tetapi dengan syarat makanan dan minuman dibungkus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Che Sukri berkata, JAIM memutuskan aktiviti moreh atau makan di masjid masih dibenarkan dengan syarat penyediaannya secara bungkus dan bufet adalah tidak dibenarkan.
“Aktiviti harian masjid dan surau Jumaat berakhir selepas solat sunat witir dan masjid hendaklah ditutup sepenuhnya pada jam 10.30 malam,” katanya.
Beliau berkata, JAIM bagaimanapun tidak membenarkan aktiviti berbuka puasa, moreh dan sahur di surau dan madrasah.
“Selain itu Qiamullail, tadarus al-Quran, tazkirah selepas solat sunat tarawih, aktiviti jemaah tabligh, memasak dan penceramah dari luar Melaka juga tidak dibenarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.