Sorting by

×

SOP ketat bagi kemasukan pekerja asing – Saravanan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA, 16 Dis – Malaysia menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk kemasukan pekerja asing membabitkan empat proses bagi mengekang risiko penularan COVID-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata empat peringkat itu adalah pekerja asing mesti lengkap vaksinasi di negara asal dan dibawa masuk melalui laluan khas apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pekerja asing kemudiannya akan dikuarantin di tempat khas yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing dan disediakan tempat penginapan kondusif oleh majikan sebagai prasyarat mengikut Akta Standard Minimun Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Saravanan berkata pekerja asing yang dibawa masuk akan menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing.

“Empat langkah diambil ini bagi memastikan kemasukan pekerja asing ke negara ini adalah selamat,” katanya kepada media selepas majlis graduasi ‘Certified Disability Management Professional’ (CDMP), di sini hari ini. Seramai 105 graduan hari ini terlibat dalam bidang pengurusan hilang upaya.

Bagi kemasukan pembantu rumah asing pula, Saravanan berkata SOP untuknya sedang dikaji Kementerian Sumber Manusia.

Pada 8 Dis lepas, Saravanan dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima kemasukan antara 5,000 dan 10,000 pekerja asing dari Indonesia tahun depan bagi memenuhi sektor pembinaan dan pembuatan termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Sementara itu, Saravanan berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima sejumlah 50,634 tuntutan faedah hilang upaya sementara dan permohonan ilat pula sebanyak 32,275 pada 2020, dan daripada jumlah itu, seramai 5,503 individu disahkan ilat. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post Tembak mati: Suspek memandu kereta secara berbahaya – Polis Sarawak
Next post Piala AFF: Misi wajib menang menentang Indonesia – Cheng Hoe
Ubah saiz-+=