SOP baharu solat Tarawih di Melaka dimuktamadkan esok

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 April. – Kerajaan negeri akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) solat Tarawih esok, susulan keputusan kerajaan membenarkan solat sunat itu dilaksanakan sepanjang Ramadan ini di seluruh negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, rakyat di negeri ini pastinya menunggu kehadiran Ramadan untuk menunaikan solat sunat itu memandangkan tiada aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan pada tahun lalu.

“Perkara itu insya-Allah akan diputuskan esok dan saya serahkan kepada Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam (JAIM) bagi memperhalusi SOP itu esok.

“Saya telah berunding dengan kedua-dua agensi itu, Insya-Allah kita boleh mulakan namun perkara itu bergantung keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

“Sememanganya umat Islam di negeri ini mahu melaksanakan Tarawih kemudian bermoreh dan bertadarus tetapi perlaksanaannya bergantung kepada keadaan COVID-19 semasa serta patuhilah SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas melancarkan Pertubuhan Attaisir Malaysia peringkat negeri Melaka dan Kitab ‘Attaisir Lilhusulil Al-Tartil’ di sini hari ini.

Hadir sama, Mufti negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Timbalan Pengerusi Attaisir Malaysia, Abdul Aziz Saidina Abu Bakar.

Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan solat Tarawih, Abdul Halim berkata, SOP baharu itu akan diputuskan esok setelah pihaknya mengadakan perbincangan bagi membolehkan rakyat di negeri ini menunaikan solat sunat itu pada Ramadan yang dijangka bermula pada 13 April ini.

“Agensi agama Melaka akan memperhalusi SOP baharu bagi membolehkan umat Islam di negeri ini bersedia menjalankan aktiviti Ramadan khususnya di masjid dan surau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Dr Noor Hisham dianugerah ijazah kehormat doktor falsafah pada Konvokesyen UKM ke-48
Next post Biro Politik Bersatu rangka gerak kerja hadapi PRU-15
Ubah saiz-+=