Sorting by

×

Songkok buatan tangan dari Duyong laris bila tiba raya

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

DUYONG 5 Mei. – Dek kekemasan jahitan dan kualitinya, songkok jenama ZW yang dihasilkan di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Duyong, di sini, menjadi antara yang cukup popular di negeri ini, terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal.

Hal itu diakui pemilik dan pembuat songkok, Norwahida Yaakob, 38, yang menyifatkan dirinya dan enam pekerja seolah-olah tidak menang tangan tatkala tibanya Ramadan dan Syawal untuk menyiapkan tempahan songkok pelbagai bentuk dan saiz untuk pelanggan.

Malah katanya, tidak kurang 5,000 ke 6,000 songkok berjaya dijual apabila tibanya musim perayaan buat umat Islam itu.

PROSES mengetuk polan iaitu kertas dalam songkok sebelum baldu digam disekelilingnya dan dijahit.

“Songkok yang kami buat dijual di bazar Aidilfitri Klebang, Dataran MITC dan Uptown Banda Hilir dan boleh dikatakan kebanyakan pembeli memang pelanggan tetap kerana mungkin mereka berpuas hati dengan songkok yang dihasilkan.

“Songkok kami ada pelbagai saiz iaitu daripada tiga hingga tujuh inci dengan harga sekitar RM15 hingga RM100 bergantung kepada jenis.

“Bahan yang digunakan ialah dua jenis baldu iaitu baldu biasa dan baldu ‘crown’ (lebih tebal) yang mana baldu itu telah diimport dari Korea Selatan,” katanya ketika ditemui di kilang pembuatannya di IKS Duyong, baru-baru ini.

Ditanya bagaimana muncul minat untuk menjadi antara pengusaha songkok termasyhur di negeri ini, ibu kepada empat anak itu berkata, semuanya bermula apabila dia mempelajari seni rekaan songkok menerusi ibu mentuanya dari suku Minangkabau, Indonesia.

ANTARA pelanggan yang datang ke premisnya untuk membeli songkok bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mulanya dia hanya mengambil upah daripada mentuanya ketika bekerja sebagai juruteknik kilang di Batu Berendam sebelum memutuskan berhenti kerja pada 2010 dan menjalankan perniagaan sendiri bermula dari rumah.

Walaupun bermula secara berseorangan sambil dibantu suami ketika itu, dia berjaya menjual 1,000 songkok dan itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus melebarkan sayap dalam perniagaan hinggalah memiliki sebuah premis sendiri.

“Sebenarnya untuk menghasilkan songkok sangat mudah, cuma yang sukarnya ialah ia ada banyak proses. Prosesnya bermula dengan memotong dan mengetuk ‘polan’ iaitu kertas keras di dalam songkok yang diperolehi dari Indonesia.

“Selepas itu barulah diletakkan gam dan menjahit menggunakan mesin, sebelum ia disudahkan dengan jahitan tangan menggunakan teknik ‘sembat’,” katanya.

Sehingga kini, songkok buatannya mendapat sambutan hangat bukan sahaja dari dalam negeri bahkan, turut menjadi pilihan pembeli dari Selatan hinggalah Utara Semenanjung Malaysia.

Norwahida berkata, pada masa hadapan, dia mengimpikan songkok buatan tangannya itu mampu menembusi pasaran antarabangsa terutama di Singapura dan Brunei.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2593
Kongsi :
Previous post Mesin kitar semula jimatkan kos pembuangan sampah di pasar borong
Next post MPHTJ kawal pintu laluan Pasar Borong di Batu Berendam sempena Aidilfitri
Ubah saiz-+=