Sorting by

×

Solusi optimumkan rangkaian internet Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BAGI mengoptimumkan capaian Internet di Melaka pelbagai strategi diambil Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan kesalinghubungan mampu dicapai di seluruh pelosok di negeri ini.

Pengarah SKMM Melaka, Muhammad Luqman Ali berkata, langkah itu bagi memastikan capaian Internet mampu dikuasai sepenuhnya sebelum peralihan penggunaan capaian teknologi 5G menjelang 2025.

Menurutnya, antara strategi itu termasuk menaik taraf 502 menara telekomunikasi di seluruh negeri secara berperingkat agar misi itu mampu dicapai sepenuhnya seiring inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah dilancarkan.

“Selain itu, kita juga akan membina tujuh menara telekomunikasi baharu selain 22 menara telekomunikasi komersial akan dibangunkan dengan menggunakan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

“Malah, dalam perancangan ini kita turut menyasarkan 103,088 premis disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan gigabit (Gb) dengan menggunakan kaedah gentian optik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut katanya, menerusi fasa pertama dalam Pelan JENDELA bermula 2020 hingga 2022 pelbagai langkah diambil pihaknya dengan menyasarkan 7.5 juta premis akan menerima akses kepada rangkaian jalur lebar tetap dengan berkelajuan Gb.

Selain itu, pihaknya akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk dengan kelajuannya juga akan ditingkatkan daripada 25 Megabit per saat (Mbps) kepada 35 Mbps.

“Setakat ini kadar kelajuan jalur lebar mudah alih di Melaka mencatatkan kelajuan muat turun (download speed) sebanyak 22.25Mbps dan 10.68Mbps untuk kelajuan muat naik (upload speed).

“Untuk makluman, kadar jalur lebar mudah alih di Melaka merekodkan 1.04 juta langganan berbanding dengan 934,000 penduduk dalam negeri ini dan nilai ini menunjukkan kebarangkalian bahawa terdapat individu menggunakan lebih daripada satu gajet dalam langganannya.

“Manakala, kadar langganan jalur lebar talian tetap pula adalah sebanyak 96,000 berbanding dengan 270,000 premis di Melaka,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Lebih 70 peratus responden dakwa rangkaian Internet di Melaka kurang memuaskan

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Lebih 70 peratus responden dakwa rangkaian Internet di Melaka kurang memuaskan
Next post Lelaki lemas, rakan hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar
Ubah saiz-+=