Solat sunat ‘kunci’ cemerlang STAM
AYER KEROH 18 Jun – Mengulang kaji pelajaran setiap jam 3 pagi serta solat sunat antara tips diamalkan pelajar perempuan terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 Negeri Melaka yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf, Nurul Aliana Hidayah Rusli, 19, memperoleh lapan Mumtaz, dan masing-masing satu Jayyid Jiddan dan Jiddan yang diumumkan secara atas talian.
Nurul Aliana berkata, suasana mengulang kaji pelajaran pada jam 3 pagi memberi ketenangan dan memudahkannya untuk belajar tanpa sebarang gangguan.
“Nak dapatkan ‘result’ ini saya banyak solat sunat dan setiap jam 3 pagi saya akan hafal apa saya buat dalam kelas, nota yang cikgu pun saya akan hafal semula.
“Kalau saya tak faham saya akan tanya kawan-kawan yang lebih mahir dari saya,” katanya kepada MHI.
Katanya dengan keputusan diperolehi itu, dia ingin melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara di Mesir dan Jordan.
“Saya hendak buat umi dan abah bangga dengan kejayaan saya, ini sebagai tanda terima kasih pada mereka kerana mendidik saya sehingga dewasa.
“Insya-Allah kalau ada rezeki saya ingin sambung belajar di luar negara dan menjadi penterjemah dalam Bahasa Arab,” katanya yang menetap di Tampin, Negeri Sembilan.
Bagi Nisa’ Ul Laiyienah Md Yusoff, 19, dari Umbai, dekat sini, yang turut cemerlang iaitu memperoleh lapan Mumtaz dan dua Jayyid Jiddan, dia juga bercita-cita menyambung pelajaran di luar negara.
Katanya, jika berpeluang dia ingin menyambung pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa Arab kerana minatnya yang mendalam terhadap bahasa itu.
“Saya ingin menjadi seorang guru dengan harapan dapat menyambung kerjaya emak yang juga pesara guru.
“Namun disebabkan kekangan negara yang sedang dilanda penularan wabak COVID-19, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam negara saja,” katanya.
Nisa adalah pelajar STAM 2020 SMA Al-Asyraf Bukit Merchant Pulau Sebang yang merupakan anak ke sembilan dari 10 beradik.
“Terima kasih pada emak, ayah dan guru-guru yang tak jemu mendoakan kejayaan saya, sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar.
“Buat kawan-kawan yang kurang bernasib baik jangan kecewa dengan apa pun keputusan yang diperolehi kerana ini adalah permulaan.
“Teruskan usaha dan jadikan kegagalan hari ini sebagai batu loncatan kejayaan di masa hadapan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.