Solat Sunat Aidilfitri dibenar dengan kapasiti penuh – Khairy
Mengumumkan protokol sambutan Hari Raya 2022 hari ini dalam sidang media di sini, Khairy berkata turut dibenarkan ialah takbir hari raya di masjid, surau dan rumah ke rumah dengan sentiasa memakai pelitup muka.
Aktiviti lain dibenarkan dengan keperluan memakai pelitup muka adalah jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan serta rumah terbuka atau majlis hari raya sama ada secara indoor (dalam bangunan) atau outdoor (terbuka),” katanya.
“Protokol ini adalah sebagai panduan umum, namun ia tertakluk kepada ketetapan dan SOP (prosedur operasi standard) oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Khairy berkata kesemua aktiviti yang dibenarkan itu bagaimanapun tidak boleh dihadiri oleh individu yang positif COVID-19 atau bergejala.
“Kesemua individu atau jemaah terbabit perlu mengelakkan 3S (kawasan yang sesak, sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak dekat),” katanya.
Beliau menasihatkan jemaah masjid atau surau untuk berwuduk di rumah serta membawa sejadah masing-masing dan memasuki premis berkenaan mengikut giliran bagi mengelak kesesakan serta bersurai dengan tenang.
“Semua boleh balik kampung dan enjoy your (menyambut) Hari Raya dalam keadaan selamat,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.