Solat Jumaat: Melaka pertimbang tambah bilangan jemaah di semua masjid dan surau

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Melaka akan menambahkan bilangan jemaah solat Jumaat di semua masjid dan surau selepas mengambil kira situasi wabak Covid-19 yang semakin positif.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, bagaimanapun ketetapan pelaksanaan itu masih di peringkat perbincangan bersama beberapa pihak termasuk Pejabat Mufti, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) sebelum diputuskan selepas Selasa depan (9 Jun).

Menurut beliau, pertambahan jumlah antara 100 hingga 200 jemaah itu bergantung kepada keluasan ruang solat utama sesebuah masjid mahupun, surau dan membolehkan lebih ramai mendirikan solat Jumaat.

“Saya telah berbincang dengan pejabat Mufti dan JAIM, selain mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memaklumkan bahawa kalau boleh ditambah lagi jemaah untuk solat Jumaat.

“Pertama kita melihat rekod keluasan masjid, seperti Masjid Al-Azim ruang solat utamanya dapat menampung jemaah yang ramai dan perkara itu perlu diambil kira selain turut mengenal pasti beberapa buah lagi masjid dan surau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Mohd Ali Rustam dan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kebenaran untuk jemaah solat Jumaat di masjid masih menggunakan jemputan dan kaedah penggiliran masih diteruskan, selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi keutamaan.

Melaka pada 29 Mei lalu membenarkan 212 masjid, termasuk surau untuk mendirikan solat Jumaat dengan menetapkan syarat hanya 40 jemaah sahaja bagi setiap masjid.

Views:

628
Kongsi :
Previous post Terima kasih Tun Mohd Khalil atas khidmat cemerlang kepada Melaka
Next post Sumbangan Mohd Khalil untuk Melaka amat dihargai – Mohd Ali
Ubah saiz-+=