Sorting by

×

Solat hajat untuk Palestin serentak esok

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PUTRAJAYA 16 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara menganjurkan solat hajat di masjid dan surau bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata solat hajat itu bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru umat Islam di Malaysia menunaikannya bagi mendoakan umat Islam di negara itu.

Katanya, JAKIM akan memanjangkan cadangan itu serta memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam setiap negeri untuk bersama-sama menyahut saranan berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Katanya, solat hajat khusus untukPalestin akan diadakan di tiga masjid utama, iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya secara serentak selepas solat Maghrib malam esok.

“JAKIM mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk menzahirkan solidariti terhadap Palestin dan menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh semua pihak dalam membantu negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berharap semoga usaha yang dilakukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan kesengsaraan dan sebagai tanda sokongan moral kepada Palestin.

Sejak serangan yang berlaku pada penghujung Ramadan itu, dilaporkan seramai 126 penduduk Palestin, termasuk 31 kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 920 cedera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post PKPD Lubok Redan libatkan 151 kediaman
Next post Balai polis bergerak pantau SOP
Ubah saiz-+=