Solat Aidilfitri dilaksanakan penuh kesyukuran

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BUKIT PALAH 13 Mei. – Umat Islam negeri ini menyambut 1 Syawal dengan penuh kelegaan dan kesyukuran selepas diberi kebenaran menunaikan solat Sunat Aidilfitri biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Penganjuran solat sunat itu yang diadakan di Masjid Al-Azim di sini, menerima sambutan hebat umat Islam selepas kerajaan membenarkan jumlah jemaah adalah berdasarkan kapasiti masjid.

TUN Mohd Ali diiringi Sulaiman hadir untuk menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri, di Masjid Al-Azim.

Pemerhatian Melaka Hari Ini mendapati hampir 1,400 jemaah memenuhi ruangan utama masjid negeri itu dengan penjarakan 1.5 meter, malah ia turut dihadiri kira kira 200 jemaah wanita.

Solat sunat itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang tiba sekitar jam 8.20 pagi dan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali serta tetamu lain.

Ibadah itu dimulakan dengan alunan takbir raya yang dipimpin oleh Imam 3 masjid itu, Ustaz Zulhusni Mokhtar sejak 7 pagi tadi.

Tepat jam 8.45 pagi Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Mohamad Hashim Al Hafiz mengimamkan solat sunat Aidilfitri sebelum menyampaikan khutbah bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Kemenangan’.

TUn Mohd Ali dan Sulaiman menyapa jemaah yang hadir di Masjid Al-Azim.

Semalam, Melaka mengumumkan kebenaran penganjuran ibadah itu di seluruh masjid dan surau terpilih di negeri ini.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan penganjuran itu hanya dibenarkan dalam kariah masing masing dan tidak dibenarkan merentas kariah sekiranya masjid telah dipenuhi.

Kerajaan turut tidak membenarkan jamuan selain solat di surau atau masjid hanya dikhususkan untuk warganegara bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1012
Kongsi :
Previous post Lima remaja ‘rempit’ beraya dalam lokap
Next post Lelaki maut akibat letupan tong gas pada malam raya
Ubah saiz-+=