Solat Aidilfitri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD – Mufti
AYER KEROH 7 Mei – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima masing-masing 212 dan 250 permohonan daripada masjid serta surau bagi mengadakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, kesemua masjid serta surau di negeri ini dibenarkan untuk mendirikan solat Aidilfitri dengan mendapatkan kebenaran dari Jabatan Mufti Negeri Melaka.
“Masjid-masjid kariah, surau-surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat sama ada Jumaat kekal atau Jumaat khas COVID-19, dan mana-mana surau yang nak mendirikan solat Aidilfitri boleh mendapatkan kebenaran daripada kami.
“Andainya tiada ruang atau tidak dapat menghadirkan diri menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau, di rumah-rumah persendirian dengan kehadiran ahli keluarga juga dibenarkan untuk mendirikan solat Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi MHI.
Ujarnya, bagaimanapun segala prosedur operasi standard (SOP) awal seperti penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu badan, rekod kehadiran, memakali pelitup muka dan membawa sejadah serta berwuduk dari rumah perlu dilakukan.
“Tiada had jemaah selagi mengikut kapasiti surau dan masjid. Sekiranya mereka ingin memasang khemah bagi menambah ruang solat dibenarkan selagi tidak mengganggu ketenteraman awam atau lalu lintas orang ramai.
“Bagaimanapun, mana-mana kawasan yang diberikan status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti mana di Kampung Permatang Tulang, Sungai Rambai, semua kegiatan untuk solat Aidilfitri sama ada di masjid atau di surau ditangguhkan kecuali solat bersama ahli keluarga di rumah,” katanya lagi.
Untuk rekod di Melaka terdapat sebanyak 213 masjid dan 858 surau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.