SOLARMEL, PAKEJ PANEL SOLAR BUMBUNG RUMAH TERMURAH UNTUK ORANG MELAKA
BANDA HILIR 6 Disember – Pemilik kediaman yang mahu memasang panel solar di bumbung rumah kini tidak perlu lagi bimbang soal harga.
Ini kerana Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) telah memperkenalkan Skim Solar Perumahan Melaka atau SolarMEL yang menyediakan pakej pemasangan panel solar termurah dalam pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ts. Mohd Hafizam Mustaffa berkata, skim tersebut direka bagi membolehkan mana-mana rakyat di dalam atau luar Melaka yang memiliki rumah sendiri untuk menjana tenaga elektrik secara percuma menerusi tenaga solar.
Beliau memaklumkan, dengan SolarMEL, rakyat Melaka boleh membuat pembayaran ansuran sehingga enam tahun, selain berpeluang menikmati penjimatan tenaga elektrik lebih ketara berbanding sebelum ini.
Tidak hanya itu, beliau berkata, panel solar yang dipasang menerusi skim tersebut juga boleh beroperasi sehingga lebih 25 tahun.
“Sebenarnya, jika hendak bandingkan dengan pemain industri yang lain, skim diperkenalkan PTHM ini adalah paling berpatutan dan diakui sendiri oleh pelanggan-pelanggan kami yang kini telah menyebarluas SolarMEL kepada rakan-rakan mereka.
“Sekarang, PTHM juga telah mengadakan kerjasama dengan Bank Rakyat untuk memudahkan rakyat Melaka membuat pemasangan panel solar di rumah dengan kadar faedah hanya serendah 2.73 peratus untuk penjawat awam atau pekerja swasta.
“Jadi, saya menyeru kepada orang ramai untuk mengambil peluang keemasan ini kerana disamping menjimatkan wang, ia juga menjadi satu amalan hijau yang dapat mendidik dan menggalakkan lagi penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebagai sumber utama tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada pada Majlis Perasmian Bursa Malaysia – Melaka ESG Summit 2024: Enhancing Value Creation For Melaka’s Public Listed Companies and Small Medium Enterprises yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.
Menurut Ts. Mohd Hafizam, setakat ini, sebanyak lebih 20 buah rumah telah mendaftar dengan SolarMEL di bawah PTHM di mana, lima daripadanya telah siap dipasang panel solar, dan bakinya sedang dalam proses pemasangan.
Beliau memaklumkan, sepanjang tahun depan, PTHM menyasarkan sebanyak 300 buah rumah akan menyertai SolarMEL di mana ia bukan hanya terhad kepada rakyat Melaka sahaja, bahkan boleh disertai pemilik kediaman dari luar Melaka.
“Jika dahulu, harga pemasangan panel solar mencecah RM70,000 hingga RM80,000, kini harganya semakin kompetitif dan kita yakin inilah peluang terbaik untuk rakyat berjimat dengan panel solar di rumah masing-masing.
“Selain menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sendiri, lebihan tenaga yang dijana pula boleh dijual kepada utiliti melalui Net Energy Metering 3.0 Rakyat (NEM Rakyat 3.0).
“Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik iaitu ‘Solar for Rakyat Incentive Scheme’ (SolaRIS), di mana rakyat berpeluang mendapat rebat atau imbuhan RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.