SNUKER TAMBAH KEMERIAHAN SUKAN MELAKA 2024
AYER KEROH 19 September – Penganjuran tahun kedua Sukan Melaka bakal berlangsung lebih meriah apabila sukan snuker akan turut dipertandingkan sebagai acara baharu temasya itu.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP. Shanmugam berkata, dengan penambahan satu lagi acara, ia menjadikan keseluruhan sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut meningkat menjadi enam.
“Tahun ini kita ada tambahan satu lagi sukan pada kejohanan Sukan Melaka iaitu snuker dan menjadi keseluruhan sukan dipertandingkan sebanyak enam termasuk juga bola sepak, bola jaring, bola keranjang, sepak takraw serta futsal.
“Untuk itu kita harapkan akan ada lebih banyak penyertaan berbanding tahun lalu dan ini terserah kepada setiap Japerun untuk menarik penyertaan dalam kalangan penduduk.
“Di Melaka, terdapat 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) jadi setiap daripada mereka perlu menghantar wakil peserta untuk sertai pertandingan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, kejohanan yang berlangsung dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) itu diharap akan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Melaka
“Tahun lalu Sukan Melaka ini kita dapat laksanakan dengan jayanya dan diharap situasi itu dapat berterusan pada tahun ini dan ia akan dimulakan di peringkat DUN,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.