Sorting by

×

SMKA Tun Perak mahu harumkan nama Melaka di Miri

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak, Jasin muncul johan Pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) peringkat Negeri Melaka menewaskan 36 sekolah lain.

Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, medal, hamper dan sijil penyertaan sekali gus melayakkan pasukan itu mewakili negeri ke Pertandingan CIP KPS peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Miri, Sarawak pada bulan hadapan.

Nur Aina Arisya Norli, 17 yang mewakli rakan sepasukan berkata, dia dan tiga lagi rakannya tidak menyangka diumum pemenang tempat pertama kerana menyangka mereka gagal dari segi kepantasan ketika menyelesaikan tugasan.

“Memang kami rasa tercabar kerana kami ambil masa yang lama juga untuk menyelesaikan tugasan di setiap ‘check point’ berbanding pasukan lain, jadi kami sangka peluang untuk menang itu tipis.

“Alhamdulillah, mungkin dari segi ketepatan jawapan menyumbang kepada kemenangan kami dan bagi menghadapi persediaan ke Miri, kami akan berusaha lebih keras lagi dalam ilmu kepenggunaan untuk mengharumkan nama Melaka ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup pertandingan itu yang disempurnakan oleh Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @ Hasim.

Hadir sama pada program berkenaan, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) negeri, Norena Jaafar dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Jamsari Mariman.

Sementara itu, guru pengiring SMKA Tun Perak, Zaidah Johar berkata dia yang sudah empat tahun berturut-turut menjadi guru pengiring pasukan CIP KPS itu sudah semestinya mahukan kejayaan dalam kalangan pelajarnya.

“Dalam tempoh empat tahun, inilah kali pertama SMKA Tun Perak meraih johan dan apa yang dilakukan adalah menyarankan peserta memantapkan ilmu dalam kepenggunaan selain mengutamakan kerjasama pasukan dalam menyelesaikan setiap tugasan,” katanya.

photo_2023-07-20_18-08-37
NAIB Johan pertandingan SMK Iskandar Shah bersama guru pengiringnya, Noorhasnida Alias.

Bagi tempat kedua pertandingan itu dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin yang membawa pulang wang tunai RM700, medal, hamper dan sijil penyertaan.

Luqman Harith Saharudin, 17 yang mewakili sekolah berkenaan berkata apabila diumumkan sebagai pemenang tempat dua sudah memberikan kegembiraannya dan rakan sepasukan.

“Masing-masing ada kelebihan masing-masing, ada yang mahir dalam matematik, ada yang bagus dalam kecergasan serta seorang lagi lebih berpengetahuan dalam ekonomi, jadi kami rangkumkan kelebihan itu untuk menyelesaikan tugasan dalam semangat berpasukan.

“Tak sangka dapat naib johan sebab ketika membawa amanah yang diberikan itu iaitu telur dibawa pecah dan di situ membuatkan fokus kami sedikit terganggu, namun kami tawakal dan berserah sekiranya ada rezeki,” katanya.

Guru pengiringnya, Noorhasnida Alias berkata ketika ditugaskan menjadi guru penasihat bagi Kelab Pengguna Sekolah serta dimaklumkan mengenai pertandingan itu, dia sudah memasang strategi untuk mengambil pelajar yang mengambil subjek ekonomi serta mahir dalam matematik.

“Saya lebih banyak berbincang dengan peserta melalui Telegram dan bimbing mereka untuk buat kerja rumah berkaitan ilmu kepenggunaan selain memahami isu semasa berkaitan pengguna.

“Alhamdulillah, mereka berjaya meraih naib johan kerana sebelum ini sekolah ini belum pernah memenangi tempat ketiga teratas pertandingan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2895
Kongsi :
Previous post Aktifkan Kelab Pengguna Sekolah di Melaka dengan program kesedaran
Next post Pelajar SMK Bukit Rambai gegar lapangan golf
Ubah saiz-+=