Sorting by

×

SMK Pulau Sebang lahir pelajar ‘Top 10’ STPM Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang, menjadi kebanggaan Negeri Melaka selepas keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 diperolehinya diiktiraf sebagai antara 10 terbaik di Malaysia.

Kejayaan Lim Sze Ling,20, memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 di peringkat Nasional menjadi pencapaian tertinggi bagi Negeri Melaka.

Gadis genit ini tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu yang bukan sahaja mengharumkan nama keluarga sebaliknya seluruh rakyat Negeri Melaka.

“Keputusan cemerlang ini membuatkan saya hari ini bergelar penuntut Universiti Malaya (UM) yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Perhubungan Antarabangsa, saya mendaftar ke UM awal bulan lalu.

“Disiplin adalah kunci utama kejayaan saya, mengulang kaji pelajaran semuanya mengikut jadual, pada masa yang sama kena ada azam untuk capai ‘target’ (sasaran) bagi kepuasan diri sendiri.

“Hasil sokongan ibu bapa, rakan-rakan dan pihak sekolah membantu saya meraih kejayaan hari ini, saya menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang diplomat suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Han Boon Yea, 45, berkata, biarpun bersekolah di kawasan luar bandar, Sze Ling membuktikan dirinya setanding dengan pelajar di bandar.

“Saya tumpang gembira atas kejayaan Sze Ling, semua ini adalah hasil usaha dirinya, dia adalah seorang anak yang mengutamakan disiplin, meskipun sibuk melakukan persiapan untuk menduduki STPM di tetap luangkan masa membantu kami di rumah. Sebagai ibu saya harap kejayaan Sze Ling menjadi cerminan kepada adik-adiknya,” katanya.

Terdahulu, Sze Ling diraikan pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM dan Huffaz Kerajaan Negeri Melaka 2021 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sze Ling menerima hadiah penghargaan dalam bentuk Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Selain itu, seramai 31 pelajar cemerlang STPM dan 140 huffaz serta hafizah yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) turut diraikan.

Masing-masing menerima hadiah RM500 seorang bagi STPM manakala RM400 kepada para huffaz serta hafizah.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6202
Kongsi :
Previous post Pelajar cemerlang STPM, STM terima pengiktirafan Kerajaan Negeri
Next post Fahami maksud kalam Allah jika mahu berjaya
Ubah saiz-+=