SMK Hang Kasturi bakal terima pengiktirafan Microsoft

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 8 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), di sini bakal muncul sekolah pertama di negeri ini yang memperoleh pengiktirafan ‘Microsoft Showcase Schools’ (MSS), Ogos ini.

Pengiktirafan itu diyakini bakal diberikan Microsoft Corporation, syarikat pengeluar sistem perisian komputer berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat, berikutan kejayaan sekolah berkenaan mengaplikasi sistem perisian itu dalam usaha memajukan pendigitalan pendidikan.

Pengetuanya, Norfa’iza Mustafa menjelaskan, setakat ini seramai empat guru SMKHK terpilih sebagai ‘Microsoft Innovative Educator’ (MIE) selepas mengikuti kursus secara dalam talian yang disediakan syarikat terbabit.

“Mereka dipilih berdasarkan kekerapan menggunakan perisian microsoft dalam pelbagai aspek pembelajaran secara digital, sejajar usaha kami memajukan prasarana pendidikan melalui kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Kami yakin sembilan guru lagi akan dipilih sebagai MIE bulan depan hasil kerjasama dengan perunding ‘Content Capital’ yang diterajui Dr Azma Abdul Hamid,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sekolah berkenaan mempunyai 730 pelajar tingkatan satu hingga lima yang dibimbing 78 guru serta dibantu 11 kakitangan.

Norfa’iza berkata, bagi memajukan pendigitalan pendidikan, PIBG berusaha sedaya upaya menambah jumlah komputer meja dalam Makmal Komputer yang setakat ada 25 unit.

Selain itu, 10 unit komputer riba yang sebelum ini disumbangkan syarikat pengeluar komputer, Hewlett-Packard (HP) juga akan ditambah bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Kami juga akan memajukan Bilik Tayang kedua dengan melengkapkan peralatan ‘projector’ dan ‘digital board’ sebagai melengkapkan dua ‘digital board’ sedia ada dalam Makmal Komputer,” katanya.

Sementara itu Guru Penyelaras Bestari (ICT) SMKHK, Atikah Alias berkata, pelajar dibimbing bukan setakat menggunakan permainan ‘Minecraft’ yang menguji ketangkasan berfikir, malah mendalami bidang animasi.

“Mereka juga dibimbing kaedah mereka bentuk bangunan melalui reka bentuk grafik, membina ‘slide’ untuk mempersembahkan hasil kajian dalam subjek tertentu, robotik dan seumpamanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2542
Kongsi :
Previous post Elak provokasi ‘Sang Bedal’ Pantai Siring – Perhilitan
Next post Tak sampai hati jual lembu mahal
Ubah saiz-+=