SMIX 2024 SANGAT BERMAKNA, BERJAYA CAPAI OBJEKTIF
BANDA HILIR 11 Oktober – Penganjuran Smart Melaka International Conference and Exhibition 2024 (SMIX 2024) berjaya mencapai objektifnya dalam menerapkan mendedahkan pelbagai ilmu bermanfaat berkaitan dunia pintar masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, edisi ketiga tahun ini juga lebih bermakna apabila mendapat sambutan hebat, bukan sahaja dalam kalangan peserta, bahkan dapat menimba ilmu serta pengalaman daripada figura hebat yang ditampilkan.
Menurutnya, seramai 21 panel penceramah berkaliber dari dalam dan luar negara dijemput pada SMIX 2024 bagi membincangkan topik bertemakan pembangunan bandar pintar di negara dan negeri masing-masing kepada peserta.
“Alhamdulillah kita dapat lihat sepanjang dua hari penganjuran, peserta-peserta kelihatan sangat berminat dengan setiap topik dan sesi perkongsian pengalaman daripada setiap panel penceramah.
“Bagi saya, ia mencapai objektif yang ditetapkan dan sambutan kali ini juga lebih bermakna dan sarat dengan pelbagai ilmu baharu yang boleh dipraktikkan peserta,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian SMIX 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Dr. Nazdiana, bagi penganjuran edisi keempat tahun depan, pihaknya bercadang untuk menampilkan tema lebih menarik, selain bakal membawakan lebih ramai penceramah hebat dan berkaliber untuk berkongsi pengalaman bersama semua pemain industri dan agensi serta jabatan Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.