SMIX 2024 BERTARAF ANTARABANGSA PADA 10, 11 OKTOBER DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 10 September – Melaka terus menjadi lokasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa, kali ini menerusi Smart Melaka International Conference and Exibition 2024 (SMIX 2024).

Persidangan dan pameran bertemakan ‘Better Cities : Global Mindset with Local Adaptability’ itu akan diadakan pada 10 dan 11 Oktober depan (Khamis dan Jumaat) bertempat di Doubletree By Hilton, Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, SMIX 2024 akan menampilkan seramai 20 panel dari luar negara antaranya Korea Selatan, Jerman, Filipina, Singapura, New Zealand dan Australia

Jelasnya, penganjuran kali ini juga menjadi platform memperluaskan inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah Smart Melaka, selari dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 iaitu pendigitalan dalam ekonomi digital, selain memberi impak kepada pembangunan masyarakat pintar.

“SMIX 2024 akan membawa peneraju industri digital dan bandar pintar dari seluruh negara serta antarabangsa ke Melaka untuk berbincang serta bertukar pendapat membangunkan industri digital dan bandar pintar.

“Terdapat 10 sesi forum pada persidangan kali ini, di samping pameran-pameran agensi, 30 speaker daripada pelbagai negara di peringkat antarabangsa dan 14 pempamer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua ICT Negeri Melaka, Fauzi Elham@Alhim dan lain-lain wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Menurut Fairul Nizam, SMIX 2024 merupakan penganjuran kali ketiga selepas penganjuran Smart Melaka International Expo 2023 (SMIX 2023) pada Oktober tahun lalu.

“Tahun ini Kerajaan Negeri memutuskan menganjurkan persidangan dan pameran sahaja selama dua hari yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Kita menyasarkan seramai 200 peserta seminar akan sertai SMIX 2024 ini, selain terdapat juga acara sampingan seperti ‘business pitching for startups’ dan ‘product briefing’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post KEMATIAN BAYI BELUM TERJAWAB, KELUARGA MAHU KEADILAN
Next post BOMBA, APM PANTAU KESELAMATAN PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024
Ubah saiz-+=