Sorting by

×

Smart A+ inisiatif tingkat prestasi calon SPM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MASJID TANAH 16 Feb. – Sisipan soalan Smart A+ Melaka Hari Ini dengan kerjasama Kelab Ibu Bapa dan Guru Islam Melaka (KIBGIM) disifatkan sebagai inisiatif terbaik dalam meningkatkan prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menduduki peperiksaan pada minggu hadapan (22 Februari).

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Ramli Abdullah berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali kerana mengedarkan sisipan soalan tersebut kepada 107 calon SPM SMK Ghafar Baba.

Jelasnya, ia membuktikan kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan serta suntikan semangat kepada setiap calon peperiksaan utama itu.

Ramli

“Dengan adanya sisipan (Smart A+ Melaka Hari Ini) ini, para pelajar dapat mengulang kaji tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah dalam penggayaan norma baharu yang menetapkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya berharap menerusi edaran sisipan soalan ini, ia mampu memantapkan persediaan dalam kalangan calon SPM pada saat akhir,” katanya kepada pemberita, di sini tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Alauddin, Normah Adam berkata, pelbagai pendekatan diambil sekolah terbabit bagi membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

Katanya, menerusi sisipan soalan Smart A+, ia mampu meneruskan kesinambungan hasrat sekolah tersebut dari segi penyediaan bahan ulang kaji buat kesemua calon SPM sekolah itu.

Normah

“Pihak sekolah akan cuba sehabis baik dengan kerjasama semua pihak termasuk unit kaunseling sekolah bagi memastikan pelajar sentiasa bermotivasi dalam mencapai pencapaian cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Sektor Pembelajaran, Farouk Maidin berpendapat, usaha mengedarkan sisipan soalan tersebut wajar dicontohi oleh setiap pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi sokongan kepada setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

“Inisiatif sebegini perlu diteruskan buat semua calon peperiksaan utama pada masa akan datang.

“Untuk kawasan Masjid Tanah, seramai 2,561 calon dari 19 sekolah akan menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

Views:

585
Kongsi :
Previous post ‘Kalau kena ambil (vaksin), saya ambillah, tiada masalah demi rakyat’ -Norhizam
Next post Jurutera ditipu Macau Scam, rugi RM71,000
Ubah saiz-+=