Sorting by

×

Skuad beregu Melaka teruskan misi buru emas hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Misi pasukan sepak takraw Melaka memburu pingat dalam acara beregu di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak diteruskan hari ini.

Pengurus Pasukan Sepak Takraw SUKMA Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa menaruh keyakinan tinggi, hasrat untuk melihat kilauan pingat dalam acara itu mampu direalisasikan.

Mustafa berkata, ia berdasarkan kepada aksi cemerlang pemain muda Negeri Melaka pada perlawanan di Dewan Muhibah, Bintulu, Sarawak, semalam.

Katanya, pada aksi sebelah pagi Melaka bermula gang dengan menundukkan Pulau Pinang 2-0 dan prestasi cemerlang itu diteruskan pada sebelah petang apabila menewaskan Perlis 2-0.

“Hari ini Melaka akan berdepan Brunei dalam perlawanan dijadualkan pada jam 1 tengah hari. Kita mengharapkan kemenangan untuk mara ke peringkat suku akhir.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin Pasukan Melaka akan melangkah ke peringkat separuh akhir hari ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya pemain muda Melaka iaitu Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin, Muhammad Daniel Zakwan Mohd Hairol dan Muhammad Zafar Jaafar ternyata mampu bersaing dan berjaya menundukan Pulau Pinang serta Perlis dalam saringan semalam .

Menurut Mustafa, kejayaan atlet sepak takraw Negeri Melaka turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada bapa angkat sukan berkenaan Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Yang Dipertua Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abd Aziz.

Untuk rekod, skuad sepak takraw SUKMA Melaka dibimbing Ketua Jurulatih, Khairul Anuar Ibrahim dan dibantu penolong jurulatih Ahmad Affenday Mohamed Sani, selain penolong pengurus pasukan Mohd Kamarudin Kasim yang juga Setiausaha PASTAM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2891
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak Orang Asli dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia
Next post Dua atlet Muay Thai Melaka hampiri emas
Ubah saiz-+=