SKSSR LINDUNGI SURI RUMAH
AYER KEROH 5 Oktober – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Melaka menyeru agar lebih ramai suri rumah tampil mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Pengarah PERKESO Melaka, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir berkata, kerajaan amat menggalakkan suri rumah di bawah usia 55 tahun mendapatkan perlindungan skim berkenaan yang menawarkan pelbagai manfaat.
Malah, menurutnya, para suami juga mencarum bagi pihak isteri demi perlindungan termasuk kebajikan pasangan mereka.
“Di Melaka sehingga kini kita merekodkan seramai 700 orang yang tampil secara sukarela untuk mendaftar di bawah SKSSR ini walaupun angka itu tidak tinggi namun setiap hari ada yang hadir untuk membuat pendaftaran.
“Kita menyasarkan seramai 3,000 orang yang akan mendaftar pada tahun ini tetapi berdasarkan statistik yang ada angka itu agak jauh, justeru kita cuba usahakan untuk mendapat sekurang-kurangnya 50 peratus daripasa sasaran itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma PERKESO Melaka, di sini.
Menurutnya, selain giat melakukan jerayawara dalam menarik lebih ramai suri rumah untuk mendaftar, pihaknya turut mengalu-alukan syarikat swasta untuk menyokong skim ini dengan membiayai caruman untuk pekerja mereka.
“Saya juga amat menggalakkan pihak ketiga seperti pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk menaja caruman ini bagi golongan suri rumah.
“SKSSR yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2022, diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan, ketika menguruskan rumah tangga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.