SKM Melaka bantu promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Dua koperasi di negeri ini bakal menjadi destinasi agropelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada tahun hadapan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mohd Firdaus Shaari berkata, pemilihan dua koperasi ini dibuat selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu mengetengahkan produk negeri Melaka yang berjaya.

“Sebelum ini Yang Berhormat Exco ada mencadangkan untuk SKM tampilkan koperasi yang aktif dan berjaya serta mempunyai hasil produk yang boleh dikongsi. Justeru itu dua koperasi sudah dikenal pasti.

“Dua koperasi terbabit yang mengusahakan ternakan ayam dan tanaman fertigasi cili ‘green house’ akan dimasukkan dalam kalendar TMM2024 dan menjadi destinasi yang akan dilawati bagi agro pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Coop Walk yang turut disertai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Tuminah Kadi @Mohd Hasim, di Taman Botanikal Ayer Keroh, hari ini.

Menurutnya, bagi merealisasikan juga sasaran kira-kira 18.7 juta pelancong ke negeri ini sempena TMM2024 tahun hadapan, SKM juga akan menjalankan beberapa program bagi mempromosikan Melaka.

“Seperti program Coop Walk ini misalnya, selain objektif kita untuk membudayakan cara hidup sihat dalam kalangan warga SKM dan koperator, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan Taman Botanikal ini.

“Lokasi ini mungkin dikenali penduduk Melaka tetapi orang luar tidak tahu, Taman Botanikal adalah lokasi riadah yang amat sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Terdahulu, Coop Walk itu disertai kira-kira 200 koperator termasuk warga SKM Melaka di sekitar Taman Botanikal, Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1104
Kongsi :
Previous post SKM Melaka komited tingkat koperasi baharu
Next post Penunggang RXZ cedera rempuh Kancil
Ubah saiz-+=