Sorting by

×

SKM komited bantu pulih sektor pelancongan tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ALOR GAJAH, 12 Dis – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu dan menjadikan 2022 sebagai proses memulih dan mengembangkan koperasi terjejas, terutamanya dalam sektor pelancongan bagi mengaktif dan memajukan semula aktivitinya.

Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar berkata dalam tempoh dua tahun ini, sektor tersebut dilihat amat terkesan dengan pandemik COVID-19 daripada segi pendapatan, sehingga menyebabkan sebilangannya terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi.

“Beberapa insentif akan diambil seperti menyuntik bantuan dan tabung modal pusingan, supaya koperasi berkenaan dapat segera dipulihkan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka pada pasca COVID-19, dengan program-program perancangan yang diatur seawal Januari depan.

“Kita melihat sektor terjejas itu sewajarnya perlu dibantu, kerana secara tidak langsung keadaan itu juga memberi kesan kepada Tabung Kumpulan Wang Pendidikan dan Kumpulan Wang Pembangunan, kerana koperasi sektor tersebut mencarum serta menyumbang dua peratus sumbangan berdasarkan keuntungan semasa yang digunakan untuk pembangunan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Projek Tanggungjawab Sosial (CSR) Pembinaan Bilik Pengurusan Jenazah Masjid Al-Mujib Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebanyak 17 buah koperasi di Melaka menyumbang kepada dana projek CSR itu dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM23,400 disalurkan bagi tujuan pembinaan bilik pengurusan jenazah masjid tersebut.

Mengulas lanjut Rusli berkata SKM juga masih menerima permohonan pendaftaran daripada kumpulan baharu dan jumlah itu meningkat dua peratus, sekali gus menunjukkan orang ramai masih berminat menubuhkan koperasi walaupun berdepan pandemik.

Dalam pada itu katanya berdasarkan rekod SKM, gerakan koperasi di Malaysia mencapai prestasi memberangsangkan dengan merekodkan 14,629 koperasi berdaftar, membabitkan keanggotaan seramai 6.5 juta orang sehingga semalam.

Katanya modal syer dan yuran pula berjumlah RM15.8 bilion dengan aset bernilai RM150 bilion selain penjanaan perolehan sebanyak RM41.4 bilion. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post Buli: KPM kaji cadangan wujud warden asrama sepenuh masa
Next post Melaka River Cruise perkenal ‘bot cinta’
Ubah saiz-+=