Sorting by

×

SKM bantu asnaf buat persediaan Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MASJID TANAH 22 April – Jelas terpancar kegembiraan dan teruja pada wajah 20 anak asnaf tatkala memilih persalinan baharu disumbangkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menyambut Aidilfitri yang berbaki tidak sampai 10 hari lagi.

Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron berkata, kesemua anak asnaf berkenaan diraikan pihaknya bersempena Program Ramah Mesra Dan Santuni Anak-Anak Asnaf.

Katanya, program itu diadakan bagi menceriakan anak-anak ini selain membantu meringankan beban ibu bapa mereka membuat persiapan menyambut 1 Syawal.

“Selaras dengan prinsip ke tujuh Gerakan Koperasi iaitu mengambil berat terhadap masyarakat kami anjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hari ini.

“Program ini juga bertujuan untuk menyuntik sifat kasih sayang dan semangat kepada masyarakat agar turut sama mengasihi anak-anak dalam kalangan keluarga asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu yang diadakan di Pusat Pakaian Hari-Hari Masjid Tanah yang turut dihadiri Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaar.

“Pada tahun akan datang kami jangka program akan bertambah meriah. Pada hari ini kita peruntukan RM3,000 dan anak-anak ini boleh memilih pakaian yang mereka suka untuk dipakai pada hari raya nanti.

“SKM bukan hanya mencari untung sahaja sebaliknya turut berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Kastam lepaskan tembakan, kejar lori bawa minuman keras seludup
Next post Tahanan Rohingya lolos: Dua dalang utama ditahan, dua masih dikesan
Ubah saiz-+=