Skim Pembiayaan TKPI tawar pekerjaan sambil belajar
PENGKALAN BATU 30 Julai – Skim Pembiayaan Transformasi Kerangka Produktiviti Insan (TKPI) diperkenalkan menggunakan konsep Penempatan dan Latih (Place and Train) mampu membantu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Rajiv Rishyakaran berkata, skim yang diperkenalkan itu mampu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan akan meningkatkan produktiviti pekerja dalam sesuatu bidang.
Katanya, skim pembiayaan TKPI merupakan inisiatif dengan kerjasama strategik Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Pusat Kemahiran Negeri (PPKN) diperkenalkan bagi menyokong kerangka pendidikan tidak formal yang selari dengan konsep MADANI.
“Menerusi skim pembiayaan ini pelatih disyaratkan untuk diberikan penempatan pekerjaan terlebih dahulu di mana-mana syarikat mahupun industri.
“Pendekatan ini berbeza berbanding mereka perlu melanjutkan pengajian di mana-mana kolej mahupun institusi yang perlu belajar dahulu dan mencari pekerjaan setelah menamatkan pengajian.
“Dengan langkah ini ia mampu menepati dan mencerahkan masa depan negara dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi supaya Malaysia bergerak maju dan menarik keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Karnival Jelajah TVET PTPK diadakan di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawan Melaka (MISDEC), di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Kanan PTPK, Mohd Fathullah Mustafa, Pengerusi MISDEC, Ahmad Sazali Sabri, Pengarah Eksekutif MISDEC, Haiqal Syukri Jantan serta tetamu lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 91,525 individu telah menerima pembiayaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.47 bilion di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula tahun 2021 hingga Julai tahun ini.
Katanya, daripada inisiatif itu PTPK telah meluluskan seramai 10,353 penerima dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM161.9 juta bagi sektor elektrik dan elektronik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.