Skim keselamatan sosial untuk suri rumah dijangka dilaksana tahun depan
KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), tahun depan.
Menterinya Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan berkata, pelaksanaan itu susulan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Julai lalu yang bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.
Skim itu menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian dan dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang.
“Seramai 150,000 suri rumah daripada isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan, manakala bagi suri rumah yang lain, penyertaan adalah secara sukarela.
“Pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan atau pun ‘the care economy’,” katanya.
Beliau berkata, perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.
“Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang membuatkan peranan dan tanggungjawab suri rumah menjadi semakin mencabar dengan amalan norma baharu seperti bekerja dari rumah dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di rumah (PdPR),” katanya.
Buat masa ini draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi bersama oleh kementeriannya dan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan jemaah menteri untuk pembentangan di Parlimen dalam masa terdekat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.