Sketsa kepenggunaan jadi medium depani cabaran kos sara hidup
AYER KEROH 8 Mei – Penganjuran pertandingan sketsa kepenggunaan anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai cabaran pengguna pada masa kini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, pertandingan bertemakan ‘Mendepani Cabaran Kos Sara Hidup’ itu bertujuan mendidik pelajar mengenai aspek kepenggunaan yang boleh diaplikasi dalam urusan seharian.
Menurutnya, sebanyak tiga buah sekolah di negeri ini menyertai pertandingan peringkat zon Selatan yang diadakan bersempena Hari Pengguna Kebangsaan 2023 itu.
“Bersesuaian dengan tema sketsa kepenggunaan – Mendepani Cabaran Kos Sara Hidup, para pelajar diberikan tugasan untuk mengolah pemahaman mereka tentang situasi pengguna pada masa ini dan menggunakan pengetahuan yang ada dalam mengharungi cabaran hidup.
“Sketsa dilihat sebagai medium hiburan yang padat dengan plot penceritaan dan penyampaian persembahan yang bersahaja. Penyampaian dan penceritaan melalui sketsa diyakini dapat menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat tentang realiti kehidupan pengguna pada masa kini.
“Sehubungan itu, pertandingan sketsa hari diyakini dapat memberi kesedaran kepada semua mengenai keperluan melengkapkan diri dengan info-info kepenggunan yang terkini supaya bijak dalam mengendalikan urusan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Zon Selatan Sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2023, di sebuah kolej, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri Rohaimi Mohammed Zawawi.
Mengulas lanjut, Allex turut berharap penganjuran sketsa itu menerima lebih banyak penyertaan pada tahun hadapan bagi mencungkil bakat pelajar.
“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Sketsa Kepenggunaan ini.
“Saya berharap juga kerjasama ini dapat diteruskan supaya para pelajar diberi ruang dan peluang untuk menyertai pertandingan-pertandingan seperti ini,” katanya.
Pada pertandingan itu gelaran juara menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal yang membawa pulang hadiah kemenangan RM2,000.
Manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi SMK Ghaffar Baba dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar.
Juara bagi peringkat zon Selatan bakal mewakili Negeri Melaka pada pertandingan peringkat Kebangsaan yang dijangka diadakan pada 28 hingga 30 Julai di Kuala Lumpur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.